Friday, April 8, 2016

SRIKANDI : Maryam Binti 'Imran

ASSALAMUALAIKUM





Alhamdulillah, hari ni niena nak berkongsi sebuah cerita yang terkenal dalam sirah Islam, iaitu kisah wanita mulia yang telah dipilih oleh Allah untuk mengandungkan Nabi Allah, Nabi Isa AS.
Mungkin ramai dah pernah dengar kisah ini, tapi apa salahnya kita refresh balik ingatan kita tentang kisah srikandi Islam ini, Maryam Binti 'Imran.


 Dan (ingatlah) ketika para malaikat berkata, " Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah telah memilihmu, menyucikanmu, dan melebihkanmu diatas segala perempuan di seluruh alam (pada masa itu) - Surah Ali 'Imran, ayat 42


Apabila Allah berkehendak sesuatu, maka akan terjadilah ia sekelip mata. Seperti mana yang berlaku pada gadis sunti, Maryam yang suci maruahnya tiba-tiba mengandung tanpa seorang suami di sisi. Bukti kuasa Allah itu hebat, maka Maryam menerima berita kehamilannya dari malaikat utusan Allah dengan hati yang redha. 

(Ingatlah) ketika para malaikat berkata, "Wahai Maryam! Sesungguhnya Allah menyampaikan khabar gembira kepadamu tentang sebuah kalimat (firman) dari-Nya (iaitu seorang putra), namanya Al-Masih Isa putra Maryam, seorang terkemuka di dunia dan di akhirat, dan termasuk orang-orang yang didekatkan (kepada Allah),  dan dia berbicara dengan manusia (sewaktu) dalam buaian dan ketika sudah dewasa , dan dia termasuk di antara orang-orang soleh.
Surah Ali 'Imran, ayat 45-46.

Menggeletar seluruh tubuhnya apabila menerima khabar gembira yang disampaikan oleh malaikat Jibril. Maryam tahu akibatnya apabila perkara ini terbongkar, orang kampung akan mencemuh dan mencacinya kerana mengandung tanpa belum pernah berkahwin padahal beliau  dikenali sebagai perempuan yang kuat beribadah dan datang daripada keluarga yang mulia.


Dia (Maryam) berkata, " Ya Tuhanku, bagaimana mungkin aku akan mempunyai anak, padahal tidak ada seorang laki-laki pun yang menyentuhku?" Dia (Allah) berfirman, " Demikianlah Allah menciptakan apa yang Dia kehendaki. Apabila Dia hendak menetapkan sesuatu, Dia hanya berkata kepadanya, "Jadilah!" Maka jadilah sesuatu itu.
Surah Ali 'Imran, ayat 47.


Sebaik sahaja Allah Yang Maha Kuasa menghembuskan roh ke dalam rahimnya, Maryam lantas memencilkan diri dan seluruh masanya dipenuhi dengan ibadah. Dia sentiasa memohon pada Allah agar diberikan kekuatan untuknya meneruskan kandungan tersebut dan dijauhi daripada cemuhan ahli keluarga dan orang kampung. Walaupun dalam keadaan takut, Maryam tetap patuh dengan suruhan Allah. Tiba masa melahirkan, Maryam membawa diri ke tengah padang pasir. Allah memudahkan urusan kelahiran puteranya, Isa yang merupakan seorang rasul selaku nabi bagi Bani Israel.

Mukjizat Allah pada Nabi Isa a.s. tersebar ke seluruh kampung apabila bayi kecil itu boleh bercakap bagi pihak ibunya apabila Maryam menerima cemuhan daripada mereka semua. Penduduk kampung terkejut dengan peristiwa tersebut kerana mana mungkin seorang bayi boleh berbicara bagi membela ibunya?
Namun, kuasa Allah melebihi segala-galanya.

Maka dia (Maryam) menunjuk kepada (anaknya). Mereka berkata, "Bagaimana kami akan berbicara dengan anak kecil yang masih dalam ayunan?"
Dia (Isa) berkata, "Sesungguhnya aku hamba Allah, Dia memberikanku Kitab (Injil) dan Dia menjadikanku seorang nabi, dan Dia menjadikanku seorang yang diberkahi di mana saja aku berada, dan Dia memerintahkan kepadaku (melaksanakan) salat dan (menunaikan) zakat selama aku hidup; dan berbakti kepada ibuku, dan Dia tidak menjadikan aku seorang yang sombong lagi celaka. Dan kesejahteraan semoga dilimpahkan kepadaku, pada hari kelahiranku, pada hari wafatku, dan pada hari aku dibangkitkan hidup kembali."
Surah Maryam, ayat 29-33

Setelah dewasa, Nabi Isa membawa ibunya keluar dari kampung demi mengejar saham akhirat. Mereka berpuasa dan menunaikan ibadah walau dalam serba kekurangan. Suatu hari, Nabi Isa meninggalkan ibunya sebentar untuk mencari hidangan berbuka. Saat Maryam keseorangan, dia didatangi malaikat Izrail untuk mencabut rohnya. Sekali lagi, dia rasa menggeletar seluruh tubuh dan takut mendengar suara malaikat yang berada di hadapannya kini. Malaikat tersebut mengeluarkan kata-kata dengan cukup hemah walaupun tugasnya mencabut nyawa tanpa belas kasihan.

Sebaik sahaja pulang, Nabi Isa terkejut melihat ibunya tidak bernyawa lagi. Dugaan diterima tatkala tiada sesiapa yang mahu membantu mengebumikan ibunya sehinggalah Nabi Isa bertemu dengan dua orang pemuda yang sangat kacak rupanya ketika dalam perjalanan pulang. Nabi Isa meminta pertolongan mereka yang sebenarnya merupakan malaikat Mikail Dan Jibril. Sungguh bertuah Maryam apabila jasadnya disempurnakan oleh para bidadari Syurga yang diutuskan oleh Allah SWT.
Itulah balasan yang diterima bagi mereka yang beriman dan patuh pada suruhan Allah.  

Semoga semua memperoleh manfaat.
Sekian, Wassalam..

1 comment: