Tuesday, September 29, 2015

SRIKANDI : Khaulah Al-Azwar

ASSALAMUALAIKUM







Khaulah Al-Azwar merupakan seorang wanita yang hidup pada zaman Sahabat r.a. Khaulah memiliki kekuatan jiwa dan fizikal yang kuat. Susuk tubuhnya tinggi lampai dan tegap. Sejak kecil beliau sudah pandai bermain pedang dan tombak. Rasulullah SAW telah membenarkan Khaulah menyertai angkatan peperangan Muslimin bersama-sama mujahidah yang lain.

Beliau adik kepada Zirar Al-Azwar yang kehandalannya di medan perang sememangnya tidak asing bagi pecinta sirah Islam. Kemahiran dan teknik bertempur ini turut diwariskan kepada Khaulah oleh ayahnya, Al-Azwar. Khaulah lantas menjadi seorang wanita yang mahir berpedang dan berkuda. Jika diteliti sirah mujahidah ini, boleh dikatakan beliau ialah pahlawan Muslimat paling handal dalam sejarah Islam. 

Dalam Perang Yarmuk, beliau menjadi salah seorang yang menonjol atau memimpin kaum wanita yang turut serta terlibat. Bahkan, beliau turut mengalami kecederaan di kepala dalam peperangan yang sangat bersejarah itu.

Namun, kisah kehandalannya bertempur yang paling masyhur ialah dalam satu operasi tentera Muslimin untuk menyelamatkan saudaranya Zirar yang telah ditawan tentera Rom sewaktu satu penggempuran. Dengan berpakaian hitam, serban hijau dan menggunakan skafnya sebagai topeng, beliau yang menyertai pasukan Khalid Bin Al-Walid meluncur laju ke arah musuh, bertempur dengan handal dan cermat, membantu tentera Muslimin yang ketika itu sudah keletihan berlawan. Raafe Bin Umaira, panglima skuad sebelum ketibaan Khalid mengungkapkan ketakjubannya, 

"Beliau berlawan seperti Khalid, namun jelas beliau bukan Khalid"



HANDAL BERKUDA


Khaulah mempamerkan kehandalannya berkuda dan bertempur dengan tombak. Pertempurannya secara solo itu ibarat menjadi satu pertunjukan kepada tentera Muslimin yang lain di samping membangkitkan semangat mereka untuk terus berjuang. Beliau akhirnya mendedahkan identitinya yang pasti mengejutkan sesiapa yang mengetahui. Akhirnya, tentera Muslimin, bersama Khaulah berjaya membebaskan panglima Zirar dalam satu operasi serangan berikutnya di Beit Lahiya, Gaza, Palestin.

Sewaktu menyertai Perang Sahura, Khaulah dan beberapa orang wanita telah ditawan oleh musuh. Mereka telah dikurung dan dikawal rapi beberapa hari lamanya tanpa senjata untuk melepaskan diri. Nampaknya tidak ada cara lain yang berkesan melainkan membakar semangat sahabat-sahabatnya yang lain agar dapat bertindak pantas sebelum musuh mengapa-apakan mereka. Khaulah sedar Allah sendiri memberi jaminan bahawa kekuatan jiwa boleh mengalahkan kekuatan senjata.

Tekad para tawanan ini sudah bulat. Setelah menetapkan harinya, maka mereka pun melaksanakan keputusan yang dibuat. Sebelum itu mereka berdoa bersungguh-sungguh pada Allah dan bertaubat dengan segala dosa yang lalu. Menangis dan merayu memohon campakkan dalam hati mereka kekuatan jiwa yang kuat dan semoga Allah memudahkan pekerjaan dan berharap semoga datanglah bantuan-bantuan ghaib untuk menolong mereka. Khaulah telah memimpin segala urusan dalam pekerjaan berat itu, dia menyandang tiang kayu siap untuk berjuang.

Begitulah keyakinan Khaulah, berkat keberaniannya mereka semua terselamat dari segala bentuk bencana itu, Akhirnya, Khaulah dan semua wanita berjaya mencerai-beraikan pasukan Rom dan dapat melepaskan diri dripada kafir durjana serta kembali ke pasukan Islam dengan selamat. Begitulah kisah seorang pahlawan Muslimat yang hebat . Hebatnya tidak digambarkan pada masa kini. 

No comments:

Post a Comment