Friday, January 9, 2015

Permata Paling Berharga



  Seorang petani memiliki sekeping tanah subur di pinggir tasik. Pada suatu hari dia bertemu dengan seorang saudagar d tepi tasik itu. Mereka berbincang panjang di bawah nauangan bayang pokok dan udara segar yang menghembus.

     " Memiliki tanah bukan lambang kekayaan. Kaya sebenar adalah apabila engkau memiliki permata," ujar saudagar itu, sarat berpengalaman." Cukup dengan sebutir permata, engkau mampu membeli sebuah kampung. Bahkan jika engkau memiliki sekarung permata, engkau boleh membeli sebuah negeri!"

       Petani itu mendengar perit, terasa ingin menjerit kesal kerana dia tidak memiliki kekayaan itu. Dia marah pada dirinya sendiri. Akhirnya dia membulatkan tekad untuk menjual tanah itu kepada jirannya. Ia sebagai bekal untuk mengembara ke serata dunia bagi mencari permata berharga. Dia ingin kaya dan memiliki segala-galanya. Adakah dia berjaya memperoleh apa yang dihajatinya?

      Setahun berlalu, malangnya apa yang dicarinya tidak ditemui. Bahkan segala usahanya musnah, seluruh wangnya habis, tenaganya kian merosot. Hari ini dia berdiri sebagai seorang papa, dia tidak mempunyai apa-apa lagi.
      
      Dengan penuh sugul, dia menggalas beban sesal dan pulang ke kampung halamannya. Berjumpa kembali dengan semua orang yang dikenali, termasuklah pembeli tanahnya dahulu. Alangkah terkejutnya dia, jirannya yang telah membeli tanahnya dahulu, pada hari ini adalah seorang jutawan ternama dan mempunyai harta bernilai kekayaan sebuah negeri....kenapa jadi begini?

      Jirannya kaya kerana rupa-rupanya permata ada tertanam di dalam tanah yang dijualnya. Dia hanya mampu memerhati tanah subur di tepi tasik itu dengan pandangan kosong. Hatinya berkecai bagai kristal yang terhempas, berderai; tangisan darah sekalipun tidak akan mampu mengubah apa-apa.

     Seperti kisah petani malang di atas, begitulah kita, umat Islam pada hari ini, mudah merasa rendah diri dan berasa tidak memiliki apa-apa yang berharga. Justeru, kita sanggup menggadai apa sahaja demi mencari permata berharga di serata dunia, timur ataupun barat. Kita tidak sedar bahawa kita sebenarnya memiliki sesuatu paling berharga ; sekeping tanah yang tersimpan permata yang mampu membeli seluruh isi dunia hatta syurga di akhirat nanti. Tanah itu adalah agama dan permata itu adalah Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasallam ; seorang Utusan Allah yang sering dilupakan oleh umatnya sendiri, lagunya tidak didendangkan, melodinya tidak didengari lagi. 



     Secara jujur, perhatikanlah kepada ajaran yang ditinggalkan oleh Baginda, di sana ada khazanah yang sangat mahal harganya. Islam yang diwariskan itu lengkap daripada struktur akidah, binaan syariah sehingga keelokan akhlak dan budi pekertinya.

      Keadaan kita sama seperti kanak-kanak yang membeli jajan, terpengaruh dek promosi di televisyen dan warna pembungkusnya yang berwarna-warni, sedangkan makanan itu hanya seperti hampas; tiada zat, tidak bergizi! 

      Apa yang diperlukan oleh umat Islam kini adalah menggali agamanya dengan pembajak iman dan cangkul ikhlas, membersih dan menggilap ilmunya serta tekun menghayati kesyumulannya, melestarikan amalannya di samping, dengan pasti memperelokkan budi pekertinya. Kajayaan bakal menjadi milik kita seperti yang pernah dikecapi oleh Rasulullah Sallallahu 'Alaihi Wasaalam dan para sahabat.Kebutaan kepada hakikat ini menjadikan kita semua kelihatan seperti tidak memiliki apa-apa, melainkan hanya nostalgia lampau yang tersemat dalam kitab-kitab tua, dibaca oleh bubuk-bubuk.

Wallahu'alam...

-Majalah Q&A -

No comments:

Post a Comment